Sambutan Maal Hjirah, Ambang Kemerdekaan dan Walimatul Urus di WBDI Hudaibiyah

Views: 4

MEKAH, 18.08.2022
Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah meriah dengan kehadiran tetamu dari kalangan warga Malaysia yang berada di Saudi dan masyarakat tempatan apabila diadakan tiga majlis serentak iaitu sambutan Awal Muharram 1444 Hijrah, sambutan di Ambang Kemerdekaan Malaysia ke 65 tahun dan Walimatul Urus seorang staf GISBH, di sini baru-baru ini.

Majlis yang dianjurkan oleh anak syarikat GISBH di Saudi Arabia (شركة جلوبل اخوان), itu bertujuan antara lain untuk merapatkan hubungan silaturrahim dengan kenalan GISBH di Mekah juga untuk memperlihatkan cara hidup Islam yang praktikal dalam melaksanakan majlis seumpama ini yang patuh Syariat.

Sebagai mewakili rakyat Malaysia di Saudi, GISBH Mekah memulakan majlis, mempamerkan budaya Melayu Islam tanah air dalam meraikan mempelai dengan perarakan pengantin diiringi dengan paluan kompang, persembahan silat, alunan selawat dan nasyid.

Majlis juga diserikan dengan tayangan video profail GISBH dan video-video lain terbitan Ikhwan TV.

Hidangan utama jamuan kali ini ialah nasi Kabsah Unta Muda (حاشي) yang terkenal sebagai ‘Hidangan di-Raja’ di sini di samping juadah khas tanah air seperti sate ayam, sate daging, nasi putih, gulai kawah, rendang itik, siakap ‘sweet sour’, Cendol Ikhwan, kopi O Malaysia dan lain-lain.

Majlis bertambah meriah bila dihadiri tetamu dari berbagai latar belakang seperti Ketua Konsulat Malaysia ke Jeddah, En Hafiz Bahar bersama beberapa keluarga warga kerja konsulat, En. Faizul, pegawai MATRADE di Jeddah, keluarga
Hany Feilani seramai 40 orang iaitu keturunan Melayu yang telah menjadi warganegara Saudi, Ustaz Ahmad Fatani, kenalan GISBH di sini, jururawat-jururawat Malaysia yang bertugas di sini, para ‘youtuber’ dan warga Malaysia yang mendapat kerakyatan Saudi.

Majlis juga dihadiri rakan-rakan perniagaan GISBH di sini seperti En. Hany Al-Utaibi, Syeikh Jameel Al-Amoudi dari Syarikat Amoudi Beverages Industry, Syeikh Abdullah Al-Yamani, Sales Director Amoudi Beverages Industry, Mr. Mizan, pemajak hotel di Mekah dari Bangladesh, Mr. Arshad, pengusaha perkhidmatan kenderaan berasal dari Pakistan dan lain-lain lagi.

Tetamu di kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa meluahkan rasa teruja dengan cara majlis ini diadakan di mana ia dipenuhi dengan nasyid, selawat dan persembahan silat berbeza dengan majlis seumpama ini yang biasanya dipenuhi dengan tarian dan berlalai-lalai.

Warga Malaysia pula terhibur kerana telah lama tidak berkumpul sesama rakyat Malaysia malah terubat kerinduan kepada kampung halaman dengan juadah yang disediakan.

Moga matlamat diadakan majlis ini tercapai dan semua yang hadir mendapat rahmat dan berkat dari Allah Taala serta boleh bekerjasama selepas ini dalam segala perkara yang membawa kebaikan bersama.

Views: 4

Reviews for Sambutan Maal Hjirah, Ambang Kemerdekaan dan Walimatul Urus di WBDI Hudaibiyah

There are currently no reviews for Sambutan Maal Hjirah, Ambang Kemerdekaan dan Walimatul Urus di WBDI Hudaibiyah
Scroll to top