Sambutan Maulidur Rasul meriah di Masjid Cahaya Iman BCH

Views: 307

RAWANG, 7 September 2024 – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Masjid Cahaya Iman telah berlangsung dengan penuh kemeriahan di Bandar Country Home di sini baru-baru ini.

Program pada 7 September bermula sejak Subuh itu bertemakan ‘Subuh Macam Jumaat’, dipimpin oleh Syeikh Abdul Karim Omar Al-Makki, dengan kehadiran ahli kariah sekitar Bandar Country Homes.

Lebih daripada 1,000 orang telah menyertai perarakan sempena Maulidur Rasul, terdiri daripada wakil-wakil surau di sekitar kariah, termasuk Surau An-Nur, Surau Al-Hidayah, Surau Al-Ikhlas dan Surau Ikhwan. Anak-anak dari sekolah sekitar seperti Tabika, Kafa, Taska, Rumah Anak-Anak Yatim, serta institusi Tahfiz dan Pondok turut hadir.

Perarakan sejauh lebih 1 kilometer ini dikawal rapi oleh pihak Polis, RELA, dan Unit Keselamatan RPU GISBH, melalui kawasan perumahan Fasa 4 dan pusat perniagaan sekitar.

GISBH turut mengambil bahagian dalam perarakan atas nama Surau Ikhwan. Selain itu, wakil GISBH membantu pihak masjid dalam pelbagai aspek seperti penyediaan makanan, juru gambar, video, keselamatan dan kebersihan.

Program sambutan hari tersebut juga merangkumi pertandingan memasak, pertandingan mewarna, ceramah, persembahan, dan kenduri.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Syamsul Debat manakala persembahan nasyid pula oleh kumpulan Hijjaz dan Diwani.

Sambutan ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli kariah serta memartabatkan syiar Islam di kalangan masyarakat setempat.

Views: 307
Scroll to top