Setelah bantuan kemanusiaan, GISBH merancang memulakan perniagaan di Afghanistan

Views: 3

MADINAH 05.06.2022
Pengerusi Eksekutif GISBH YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali telah mengadakan pertemuan dengan Syeikh Abu Talhah dari Afghanistan di vila GISBH Madinah di sini, hari ini untuk membincangkan perancangan GISBH memulakan perniagaan dan pembelian hartanah di Afghanistan.

Bersama-sama Tuan Nasiruddin Mohd Ali, pembantu peribadi beliau, Tuan Syurahbil Amran sebagai penterjemah dan YBhg Tuan Ahmad Anuar Abd Rahman, salah seorang Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH yang baru pulang dari Misi Kemanusiaan di Afghanistan baru-baru ini.

Pelbagai perniagaan boleh dibuat di Afghanistan apabila ia benar-benar dibuka kepada dunia tidak lama lagi, menurut Syeikh Abu Talhah.

GISBH bercadang untuk membeli hartanah di kawasan Mazar -i- Sharif tidak jauh dari Termiz betul-betul di tepi Sungai Amudaria yang memisahkan antara Afghanistan dengan Uzbekistan.

Bumi yang berdekatan dengan tanah kelahiran ulama Hadis tersohor, Imam At-Tirmizi ini sangat subur untuk pertanian dan penternakan serta mempunyai sumber air mineral.

Tebing tanahnya yang setinggi tiga meter dari permukaan air sungai pula boleh diproses sebagai batu bata atau dijual untuk perusahaan batu bata yang sangat diperlukan oleh masyarakat Afghanistan yang dalam fasa pemulihan dan pembangunan semula.

Air mineral pula boleh diproses dan dibotolkan untuk perniagaan air yang juga merupakan keperluan seluruh lapisan masyarakat di negara yang bergunung ganang dan mempunyai sumber air yang terhad ini.

Pokok atau tanaman yang sedia ada ialah pokok Aprikot yang buahnya boleh dijual segar atau diproses menjadi jus juga boleh dikeringkan.

Menurut Syeikh Abu Talhah lagi, inilah masa yang paling sesuai untuk membeli hartanah kerana harganya masih murah dan nilainya dijangka akan bertambah tinggi dalam masa lima tahun akan datang.

Tuan Nasiruddin Mohd Ali berminat untuk meneroka perniagaan di Afghanistan atas dasar ingin sama-sama membantu rakyatnya yang telah beberapa dekad terlibat dengan peperangan yang membantutkan pembangunan walaupun prasarana yang paling asas sedangkan negara itu sangat kaya dengan hasil buminya.

Di akhir pertemuan, Syeikh Abu Talhah menyatakan beliau bersedia mengiringi YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali ke Afghanistan untuk melihat sendiri potensi perniagaan di sana dalam masa yang terdekat.

Moga segala usaha pimpinan GISBH dalam berdakwah melalui medium perniagaan ini Allah berkati dan jadikan kenyataan untuk membantu seluruh umat Islam menjadikan Islam sebagai cara hidup walau di mana mereka berada.

Views: 3
Scroll to top