Surau Ikhwan jadi syiar Islam di aktiviti 4×4 Satun

Views: 512

SATUN, 21.05.2024
Untuk pertama kalinya telah didirikan sebuah surau untuk memastikan perlaksanaan rukun Islam yang utama, sembahyang fardhu lima waktu di program aktiviti pacuan empat roda, Satun Offroad Challenge 2024 di sini sepanjang 3 hari ini.

Program dari 17-19 Mei ini berlainan dari aktiviti seumpamanya sebelum ini bilamana pimpinan Rangkaian Pembina Ukhuwah (RPU) yang diketuai oleh Tn. Nik Fateh Nik Muhammad membina sebuah surau yang cantik di tapak program.

Walaupun hanya surau sementara, hasrat Pengerusi Eksekutif GISBH, Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali dan Presiden RPU, Tn. Mohd Adib At Tamimi agar ia dibuat dalam keadaan kemas, menarik dan berwibawa.

Ia adalah khemah berbumbung dengan saiz 12 x 40 kaki. Lantainya dipasang kayu palet dan karpet siap bergaris saf dan mihrab dengan hiasan kerawang yang menarik.

Di luar khemah terdapat pintu gerbang dengan kerawang berbentuk kubah dua tiang yang cantik dengan banner tertulis Musolla, Prayer Room dan satu lagi dalam bahasa Thailand.

Terdapat juga tong air dan paip untuk mengambil wudhu’ yang airnya di pam dari kolam berdekatan.

Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi ringkas untuk muazzin melaungkan azan.

Berbagai reaksi baik diterima dari para peserta yang gembira dengan inisiatif yang dibuat di mana amal ibadah tidak ditinggal walaupun sibuk dengan aktiviti lasak.

Seorang peserta terharu menangis kerana menurutnya pernah sebelum ini, aktiviti begini diadakan untuk membuat kutipan amal dan disumbangkan kepada pondok pengajian tetapi pihak pondok enggan menerimanya kerana mengetahui terdapat percampuran aktiviti maksiat dalam program sebegini.

Tetapi kali ini RPU membawa panduan praktikal di mana ibadah asas sangat dijaga sepanjang majlis dan tiada pelanggaran syariat berlaku.

Moga para RPU menjadi contoh bagaimana Islam dilaksanakan di semua aspek kehidupan dalam diri mereka dahulu dan dapat dilihat di dalam aktiviti harian dan pergaulan.

Views: 512

Reviews for Surau Ikhwan jadi syiar Islam di aktiviti 4×4 Satun

There are currently no reviews for Surau Ikhwan jadi syiar Islam di aktiviti 4×4 Satun
Scroll to top