Tetamu semua golongan membanjiri dataran PPIBCH sempena Rumah Terbuka GISBH

Views: 54

RAWANG, 29.05.2022
Pusat Perniagaan Ikhwan Bandar Country Homes (PPIBCH) di mana terletak ibu pejabat GISBH di sini, meriah dengan kedatangan tetamu pelbagai golongan dari semua peringkat umur sejak dari jam 9.30 pagi hingga ke 7.00 petang, sepanjang hari semalam di majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri kali ini.

Walaupun majlis bermula secara rasmi pada pukul 10 pagi, ada pengunjung telah sampai lebih awal untuk sama-sama meraikan Aidil Fitri bersama para pimpinan dan staf GISBH setelah mengikuti sambutan yang dibuat di banyak cawangan GISBH seperti di GISBH Selayang, Klang, Enstek, Muar, Kulim, Kota Kinabalu, Manjung, Beruas, Temerloh, Kuantan dan lain-lain melalui media sosial.

Tidak kurang dari lapan ribu orang tetamu mengambil peluang untuk menghadiri rumah terbuka kali pertama di sini setelah wabak Covid-19 ini bersama keluarga lebih-lebih lagi kerana terdapat pelbagai aktiviti seperti menunggang kuda, mencuba sukan ATV dan ‘Archery Combat’, bermain Supa-Dupa dan membelai arnab di samping menikmati pelbagai hidangan dan menonton persembahan nasyid dan budaya.

Para pengunjung bebas mengambil menu secara bufet di bawah lapan buah kanopi berasingan lelaki dan perempuan seperti nasi beriani, nasi putih, ayam masak merah, kari daging, lemang, ketupat pulut, nasi himpit, sate, kuah kacang, lontong, rendang ayam, mi, kuetiaw dan bihun sup, pisang dan keledek goreng, masak panas, aneka bubur, air sejuk dan panas, cendol, tapai dan ais krim dengan kambing golek atau kambing grill sebagai tarikan utama.

YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, CEO GISBH, YBhg Tuan Hasnan Abdul Hamid, COO GISBH dan YBhg Tuan Mohd Adib At-Tamimi, CCO GISBH menyantuni para tetamu dari meja ke meja yang menjamu selera di bawah 16 buah set Marquee Tent 114m x 5m berhadapan dengan pentas persembahan.

Antara tetamu yang hadir ialah Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr. Ahmad Sani Araby dari MAPIM, Prof Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abdul Majid, Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Dato’ Mohamad Mubarak bin Majid, Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), Ayahanda Abdul Rani bin Kulup Abdullah, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), YB Tuan Chua Wei Kiat, ADUN Rawang, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu.

Selain itu, turut hadir Mohd Sayuti Omar, penulis politik, Datuk Wazata Zain, artis veteran, Dato Ahmed Tauzan Bin Abdul Ghani, Imam Food Sdn Bhd Dato’ Paduka Abd Hardee, Hardee Herba, YB Tuan Harumaini Bin Haji Omar, ADUN Batang Kali, Dato Anwar Abd Hamid, In-to-tech Engineering Sdn Bhd, Tuan P Sevayana Sambanthan, General Manager Koperasi Konsumer Malaysia Berhad, Dr Prof Madya Azhar, Perubatan Melayu/Linton, Dato’ Abu Hassan Awang, Pengarah Syarikat Cosmic Express, ahli sukan Dr Suwaibah Nasir dan En Syazali Samad.

Rumah terbuka yang menghimpunkan rakan-rakan GISBH dari pelbagai golongan samada pemimpin politik dan NGO, usahawan, artis-artis, ahli sukan, ahli kelab motorsikal berkuasa tinggi, pihak keselamatan, pekerja am dan lain-lain ini bukan sahaja menjadi medan semua untuk berkenalan, bersilaturrahim, berkasih sayang malah berpakat untuk bekerjasama.

En Megat Hazairudin Hj Hassan yang datang bersama keluaranya dari Maran, Pahang merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak GISBH atas jemputan ke rumah terbuka GISBH yang padanya amat meriah dan menyeronokkan dengan sajian makanan yang lazat dan pelbagai aktiviti yang mengembirakan anak-anak.

Bagi En Khairul Nizam bin Hj. Abdul Samad, seorang usahawan di bidang akuakultur, majlis rumah terbuka ini suatu majlis besar yang cemerlang, amat teratur dan tersusun. Menurut beliau, warga GISB yang bertugas sangat mesra dan baik penampilan dan tuturkata. En Nizam seronok melihat tetamu dari pelbagai bangsa dan agama turut hadir yang menandakan orang ramai atau orang awam sudah tidak skeptikal dengan GISBH atau pandang serong disebabkan sejarah lama.

En Abd Haez Abd Haiy pula melahirkan rasa bahagia dan berterima kasih sebanyaknya kepada GISBH kerana menganjurkan majlis rumah terbuka yang sangat dinanti-nantikan semua yang mana padanya kita dapat berkasih sayang dan bersilaturrahim dengan ramai kawan baru dan kawan yang telah lama tak bertemu kerana kita diuji Covid-19.

Encik Zul Alif dari Ipoh mengatakan yang paling ‘grand’ adalah persembahan Generasi Harapan dengan ‘sound sistem’ tahap konsert luar. Makanan pula sedap dan petugas RPU mesra dengan akhlak yang bagus. Secara umum suasananya meriah dengan golongan bawahan sampai ke VIP.

Moga Allah datangkan sebesar-besar rahmat-Nya kepada seluruh umat Islam dengan diadakan program Rumah Terbuka untuk berkasih sayang seumpama ini dan dimudahkan dalam segala urusan.

Views: 54
Scroll to top