KUALA LUMPUR, 13.01.2024
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut serta sebagai tetamu kehormat dalam Majlis Solidariti Untuk Palestin anjuran Persatuan OKU Sentral di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) di sini, tadi.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator (R) Datuk (Dr) Ras Adiba Radzi dalam ucapannya menggesa masyarakat dunia segera menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin.
“Penubuhan OKU Sentral mengadakan program ini atas rasa simpati kerana 85% daripada penduduk Gaza telah dan akan menjadi OKU, lebih 23,000 nyawa hilang dalam serangan Israel di Gaza, ditambah dengan nasib jutaan rakyat Gaza yang hilang tempat tinggal.
“Konflik ini memerlukan penyelesaian dan perdamaian segera. Kita juga perlu memastikan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk.
“Solidariti OKU Sentral ini bukti kemanusiaan dan keperluan mendesak untuk gencatan senjata di Gaza,” katanya.
Tun Mahathir dalam ucapannya berkata, beliau begitu bimbang mengenai akibat daripada konflik berterusan di Gaza juga penolakan Amerika Syarikat untuk menyokong gencatan senjata telah mengakibatkan kehilangan nyawa warga Palestin yang tidak berdosa.
“Penyelesaian hanya boleh dilakukan jika semua negara yang mempunyai hubungan dengan Israel memanggil balik duta mereka dan memutuskan hubungan dengan Israel,” katanya.
Turut hadir Aktivis aktivis kemanusiaan Malaysia yang menetap dan berkahwin dengan wanita Palestin di Gaza, saudara Muhammad Nadir Al-Nuri bin Kamaruzaman bersama tiga warga Palestin yang berkongsi situasi yang sebenar di Gaza.
Syarikat GISB Holdings juga bersama-sama menyatakan solidariti untuk Gaza ini dengan kehadiran Ahli Lembaga Penasihat, YBhg Tn. Hj. Hasnan Abdul Hamid dan Tn. Hj. Mohd Fadhil Yasin mewakili Pengerusi Eksekutif, YBhg Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali bersama 13 yang lain.
Kumpulan kebudayaan GISBH, Akademi Generasi Harapan pula menyumbangkan 2 buah nasyid ‘Love and Care’ dan ‘Palestin’ di majlis ini.
Moga Allah kabulkan doa dan harapan seluruh pencinta keamanan dan kedamaian agar peperangan segera dihentikan.