TYT Duta Besar Malaysia ke Saudi berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah

Views: 172

HUDAIBIYAH, 02.07.2023
Duta Besar Malaysia ke Saudi Arabia, TYT Datuk Wan Zaidi bin Wan Abdullah, bersama Kaunselor dan beberapa orang pengiring telah berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah di sini hari ini.

TYT Duta dan rombongan yang tiba dengan menaiki motorhomes milik GISBH, Rahmati Kalun gembira dapat pengalaman menaiki motorhomes GISBH yang telah berkhidmat di banyak negara dari Timur Tengah hingga ke Eropah.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengerusi Eksekutif GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten, Ketua Pegawai Operasi, Tuan Hasnan Abdul Hamid, Ahli-ahli Lembaga Penasihat, Tuan Mohd Fadhil Yasin, Tuan Nik Hazani Nik Muhammad dan beberapa orang Pegawai Tadbir Syarikat.

Rombongan di bawa mengelilingi WBDIH yang berkeluasan 3 ekar tersebut.

TYT Duta sangat gembira melihat adanya air terjun buatan yang diilhamkan sendiri oleh YDH Pengerusi Eksekutif bahkan semua konsep dan pembangunan di WBDIH adalah ilham kreatif dari beliau sendiri.

TYT Datuk dan rombongan juga terhibur melihat kemeriahan ikan-ikan talapia di kolam yang timbul untuk memakan pallet yang ditaburkan.

Beliau juga sempat melihat suasana pengunjung dari kalangan jemaah Haji, yang juga baru tiba di WBDIH menaiki dua buah bas.

TYT Duta memuji konsep Food Court di WBDIH yang menyediakan juadah-juadah selera Malaysia dan juga Mini Mall yang menjual cenderahati kepada pengunjung.

Di kandang unta dan kuda, dua orang pengiring beliau berkesempatan menunggang unta dan kuda secara joyride.

Ketika melawat chalet, YDH Pengerusi Eksekutif sempat menunjukkan ruang dalam salah sebuah dari 8 chalet yang ada di WBDIH.

TYT Duta mengucapkan tahniah, apabila Tuan Pengerusi Eksekutif menjelaskan idea dan hasrat dibangunkan WBIDH sebegini rupa adalah agar terjalin kerinduan pengunjung WBDIH kepada Baginda Nabi SAW dengan adanya haiwan-haiwan kesayangan baginda seperti unta, kuda dan kambing bahkan bumi Hudaibiyah sendiri sangat terkait dengan perjuangan Rasulullah SAW di era sebelum Futuh Mekah.

Selepas itu Tuan Pengerusi Eksekutif menjemput TYT Duta dan rombongan menjamu selera di Wadi Coffee House yang berhawa dingin.

Sementara makanan tersedia, TYT Duta menyatakan harapannya agar GISBH terus berkembang dengan meneroka bidang perhotelan khususnya di sekitar Masjidil Haram.

Menjawab soalan beliau mengenai fokus terkini perniagaan GISBH, TYT Duta diberi taklimat berkenaan keseriusan Tuan Pengerusi Eksekutif membawa GISBH meneroka Empayar Ayam dari A hingga Z.

Sementelahan telah termeterai Memorandum Perjanjian dengan sebuah syarikat dari Indonesia iaitu PT Putra Perkasa Genetika (PTPPG) dalam membangunkan Genetik Ayam yang baharu.

Di meja makan, TYT Duta sangat gembira dan berulang-ulang kali memuji keenakan nasi lemak dan sambalnya, “Ini betul-betul nasi lemak,” ujarnya.

Selain nasi lemak, TYT Duta dan rombongan juga dihidangkan dengan rendang unta, kari kambing, bubur kacang hijau, Ayam Goreng Sihat Ikhwan, roti canai dan Jus Buah Ikhwan.

TYT Datuk mengucapkan tahniah kepada YDH Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH atas pencapaian yang beliau saksikan di WBDIH dan menyatakan rasa kagumnya apabila mendengar bahawa dalam masa 3 bulan (dari Jan 2023 hingga Mac 2023), seramai 54,000 orang pengunjung telah berkunjung ke WBDIH.

Sebelum beredar TYT Duta dihadiahkan dengan hamper cenderahati berupa beberapa produk Ikhwan Brand.

Kunjungan TYT Duta dan rombongan kali ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama Pengerusi Eksekutif dan barisan ALP GISBH sebelum beliau meneruskan perjalanan ke Jeddah.

TYT Datuk berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih kepada YDH Tuan Pengerusi Eksekutif kerana sudi menjemput beliau ke WBDIH.

TYT Duta turut berbangga dengan pencapaian GISBH atas pembelian tanah WBDIH seluas 3 ekar dan juga mengucapkan tahniah kepada YDH Pengerusi Eksekutif atas terdaftarnya syarikat 100% milik warga Malaysia di Saudi Arabia.

Bagi pihak GISBH pula, YDH Tuan Pengerusi Eksekutif mengucapkan ribuan terima kasih kepada TYT Duta Besar kerana sudi hadir ke WBDIH, berkenalan dan memberi kata-kata perangsang kepada beliau atas pencapaian GISBH, khususnya di Saudi Arabia.

YDH Tuan Pengerusi GISBH juga menjemput TYT Duta untuk datang semula dengan keluarga dan bermalam di WBDIH.

Moga ikatan ukhuwah dan kasih sayang yang bertambah erat di antara wakil rasmi kerajaan Malaysia ke Saudi, TYT Duta Besar dengan kepimpinan GISBH khususnya YDH Pengerusi Eksekutif, hasil program seumpama ini, akan membuahkan kerjasama antara kedua belah pihak yang memberi faedah kepada semua umat Islam.

Views: 172

Reviews for TYT Duta Besar Malaysia ke Saudi berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah

There are currently no reviews for TYT Duta Besar Malaysia ke Saudi berkunjung ke Wadi Berkat Dato’ Ibu Hudaibiyah
Scroll to top