Ulama dan tokoh masyarakat meriahkan sambutan Maulidurrasul di Pattani

Views: 8

PATTANI, 12.11.2022
Hampir 2000 orang terdiri daripada Tuan-tuan guru, pelajar-pelajar pondok pengajian, staf dan kepimpinan GISBH serta para tetamu telah hadir di majlis alunan qasidah dan bacaan maulid di Karnival Kebudayaan Islam sempena Maulidurrasul 1444 Hijrah di Pattani Bazaar, di sini hari ini.

Karnival anjuran bersama GISBH Sdn Bhd dan Global Ikhwan Foundation Thailand dengan kerjasama Persatuan Pondok Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Dewan Penyelarasan Majlis Agama Islam Selatan Thai, Persatuan Sekolah Swasta Formal Pattani dan Yayasan Pusat Penyelarasan Tadika Selatan Thai (PERKASA) diadakan selama dua hari iaitu 12-13hb November 2022.

Para tetamu yang hadir menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah di bawah khemah utama bersama para pengarah zon GISBH diimamkan oleh Tuan Muhammad Ubadah Ashaari.

Selepas menunaikan fardhu Maghrib qasidah-qasidah serta nasyid memuji Nabi Muhammad SAW dialunkan secara bergilir-gilir oleh para munsyidin dan diikuti oleh seluruh hadirin.

Antara alim ulama dan tokoh masyarakat Pattani yang hadir ialah
Yang Berbahagia Den Tok Meena Bin Haji Sulung, mantan  Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand,
Tuan Guru Hj Syihabuddin Walong, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani,
Tuan Guru Suwari, Ketua Persatuan Pondok Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Tuan Guru Mohammad Jamaluddin bin Ismail, Baba Pondok Darul Ulum, Tuan Guru Ibrahim,
Ketua Persatuan Muasolat Bainal Ulama, Dr Muhaimin Soleh, Pengetua PERKASA, Pattani dan lain-lain.
 
Selepas sembahyang fardhu Isyak, program diteruskan dengan bacaan Maulidunnabawi iaitu sejarah hidup Nabi Besar Muhammad SAW di dalam bahasa Arab dan Melayu.

Tuan Guru Syihabuddin
mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pucuk pimpinan GISBH yang mengadakan majlis yang bersejarah ini dan berdoa moga Allah Taala mencucuri keberkatan ke atas semua.

YBhg Tuan Hj Den Tok Meena Bin Haji Sulung, seorang tokoh terkenal masyarakat Pattani, anak kepada pejuang Pattani yang terkenal, Hj Sulung juga mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha mengadakan majlis Sambutan Maulidurrasul gabungan masyarakat Pattani dan GISBH dari Malaysia.

Seluruh Ahli Lembaga Penasihat GISBH hadir dalam majlis ini diketuai oleh Pengerusi Eksekutifnya YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, YH Dato’ Lokman Hakim Pfordten Abd Rahim Pfordten, CEO GISBH dan seluruh kepimpinan utama GISBH hadir di majlis yang julung-julung kali diadakan di sini.

Moga Allah anugerahkan keberkatan dan kemakmuran kepada seluruh warga Pattani kerana memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan alunan selawat dan membaca sejarah baginda.

Views: 8

Reviews for Ulama dan tokoh masyarakat meriahkan sambutan Maulidurrasul di Pattani

There are currently no reviews for Ulama dan tokoh masyarakat meriahkan sambutan Maulidurrasul di Pattani
Scroll to top