Wakil GISBH hadiri Maulid Akbar di Yayasan Al-Jenderami

Views: 877

DENGKIL, 23.10.2023
YBhg Tuan Hj. Hasnan Abdul Hamid, Ketua Pegawai Operasi GISBH mewakili YBhg Tuan Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH mengetuai rombongan menerima jemputan ke Majlis Mengingati Kelahiran Nabi Besar Muhammad SAW dan Haul Mashaikh Al-Jenderami di sini baru-baru ini.

GISBH menghantar 8 orang wakil ke majlis penuh berkat yang diadakan di Kompleks Yayasan Al-Jenderami, Kampung Baru Lorong Aman, Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor yang turut dihadiri para Habaib, alim ulama dan tetamu dari Selatan Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam, India dan lain-lain.

Kompleks seluas 9 ekar ini dikelilingi oleh
perkampungan atau Qariah Al-Jenderami seluas 24 ekar. Perkampungan itu sebenarnya ialah sebuah pusat pengajian Islam bagi mengembalikan semula kegemilangan institusi mengaji pondok.

Pengasas awal perkampungan ini ialah sekumpulan kakitangan Urban Development Authority (UDA) seramai 20 orang yang diketuai oleh Ustaz (sekarang Datuk Syeikh) Hj. Mohd. Hafidz Hj. Selamat pada 1985 yang sangat mendapat panduan daripada gurunya, seorang ulama terkenal di Selangor iaitu Tuan Guru Muhammad Zain Tama yang berasal dari Kampar, Sumatera Indonesia.

Kompleks yayasan ini dilengkapi dengan sebuah masjid, tadika, kelas agama dan fardu ain (KAFA), kelas-kelas pengajian, pejabat pentadbiran, asrama anak yatim dan warga emas, klinik, kedai koperasi, bistro dan hotel bertaraf tiga bintang.

Perkampungan itu mendapat perhatian dan sentiasa dikunjungi umat Islam khususnya apabila diadakan Maulidur Rasul di bulan Rabiul Awal setiap tahun.

Antara tetamu kehormat yang hadir kali ini ialah Imam Habib Muhammad bin Salim bin Ahmad bin Hasan al-Attas, pengasas dan Imam Besar Masjid Ba-Alawi Bukit Timah, Singapura, TYT Tun Seri Setia (Dr) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, YAM Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus al-Qadri, Tunku Besar Tampin, Datuk Syed Hussien Al-Habshee Bekas Duta Besar Malaysia ke UAE, Tan Sri Syed Hamid Albar, Bekas Menteri Luar, TYT Duta Besar Yaman, TYT Duta Besar Bahrin, Syeikh Umar Khatib dari Tarim, Dr. Fahmi Ngah, EXCO Agama Islam Negeri Selangor, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, Tuan Hj Jamaluddin bin Hj Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Prof Madya Dr Mohd Faudzinaim Badarudin, Mufti Negeri Sembilan dan lain-lain.

Para tetamu kehormat termasuk wakil GISBH, Tuan Hj Hasnan berkumpul di kawasan yang disediakan dan hampir jam 6 petang perarakan Maulidur Rasul dimulakan dengan alunan selawat bersama pukulan kompang diiringi dengan kibaran bendera dari para pelajar.

Perarakan beramai-ramai untuk membesarkan Rasulullah ini dimulakan di dataran kompleks menuju ke masjid.

Di masjid diadakan bacaan maulid dan tausiah daripada alim ulama juga sembahyang berjemaah.

Dianggarkan seramai 12 ribu orang pengunjung telah datang ke majlis sambutan Maulidur Rasul kali ini.

Moga Allah berkati majlis mengingati hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW ini dan mempertautkan ikatan ukhuwah Islamiah untuk mengukuhkan hubungan sesama umat Islam agar dapat bersatu dan bekerjasama dalam membangunkan agama ini.

Views: 877

Reviews for Wakil GISBH hadiri Maulid Akbar di Yayasan Al-Jenderami

There are currently no reviews for Wakil GISBH hadiri Maulid Akbar di Yayasan Al-Jenderami
Scroll to top