PUTRAJAYA, 12.10.2023
YBhg Tuan Nik Hazani Nik Muhammad, Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH mengetuai rombongan menghadiri program Minggu Negarawan di Yayasan Kepimpinan Perdana yang menampilkan dua ahli panel; YABg Tun Dr Mahathir bin Mohamad dan YBhg Prof. Dr. Soleha Yaacob dengan tajuk Melayu, Sejarah dan Identiti di sini semalam.
Program dwi-bulanan yang menampilkan Tun Mahathir bersama tokoh-tokoh yang di pilih membicarakan topik-topik yang relevan dengan masyarakat Malaysia ini semakin mendapat sambutan daripada masyarakat dari minggu ke minggu hingga untuk kali ini memenuhi dewan malah ada yang berdiri.
Menurut pengerusi majlis, hadirin yang datang terdiri daripada pelbagai kalangan masyarakat antaranya profesor, komander, kapten, mejar bersara, sarjan mejar bersara, penyelidik, pensyarah dan lain-lain.
Menjawab soalan moderator benarkah Melayu bermula zaman Kerajaan Melayu Melaka? Profesor Dr. Soleha menafikan malah mengatakan keyakinannya bahawa banyak kurikulum pelajaran sejarah telah diselewengkan oleh penjajah.
Prof. mengatakan dari catatan sejarah bahawa pedang Qalah atau Qal’ah yang terkenal sebagai pedang terbaik di dunia di buat di Qalah iaitu Kedah yang ketika itu mempunyai relau-relau melebur besi mencakup 1000 batu persegi hingga ke Pattani.
Pedang-pedang ini telah dihasilkan sejak sebelum Nabi Isa AS lagi. Ia membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa tua dan telah lama bertamadun dan bermula dengan kerajaan Melayu Melaka.
Tun Mahathir pula berkongsi pemerhatian beliau mengenai sikap bangsa Melayu yang hanya suka sesuatu yang mudah dan tidak suka dengan sesuatu yang susah dan mencabar.
Contohnya menurut beliau, apabila British mengambil 4 buah negeri Melayu dan menyerahkannya kepada Siam, tidak ada siapa pun protes. Tiada gerakan anti British atau rusuhan kerana orang Melayu sendiri ketika itu suka berpecah belah.
“Walaupun tanah Melayu, milik orang Melayu, tetapi mereka mendirikan kerajaan-kerajaan kecil dan tidak mampu mempertahankan diri mereka.
“Apabila British datang, mereka tidak bersatu melawan seperti orang Indonesia menentang Belanda di Aceh contohnya.
“Orang Melayu sudah kehilangan Melaka, seterusnya kehilangan kepulauan Riau Lingga dan setelah merdeka kehilangan Singapura pula yang akhirnya menjadi negara orang Cina, orang Melayu tetap hanya fikirkan kerajaan masing-masing tanpa rasa ingin membela.
“Tak ada negeri atau kesatuan yang protes. Sebab kita nak cari jalan yang senang sampai sekarang.
“Pendapat saya dalam masa dua lagi pilihanraya tak ada lagi Tanah Melayu. Sejarah kita akan tamat 10 tahun lagi. Kerana dalam masa 10 tahun, orang Melayu sudah tidak ada kuasa di tanah Melayu.
“Tanah Melayu akan dikuasai oleh pihak lain, kaum pendatang dan mereka akan tukar nama tanah Melayu ini menjadi negara berbilang kaum walaupun tanah ini milik orang Melayu, perlembagaan kita sebut bahawa ini tanah Melayu. Ia milik orang Melayu yang rata-rata beragama Islam,” ujar YABhg Tun lagi.
Selesai majlis, Tuan Nik Hazani, ALP GISBH sempat bersalaman dengan Tun Mahathir di luar dewan dan menyampaikan salam daripada Pengerusi Eksekutif GISBH, YBhg Tuan Nasiruddin Mohd Ali kepada beliau.
Moga Allah sedarkan bangsa Melayu untuk kembali kepada Allah dan Rasul agar dapat bersatu demi membela agama, bangsa dan negara untuk mengembalikan kegemilangannya yang lampau.