Wakil GISBH menghadiri Jemputan makan malam bersama YDP Agong

Views: 41

ISTANBUL, 21.08.2022
Tiga orang wakil GISBH telah berpeluang menghadiri jemputan makan malam bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di hotel Mandarin Oriental Bosphorus di sini, baru-baru ini.⁹

YDP Agong turun dari hotel penginapan pada jam 8:30 malam dan majlis dimulakan dengan sesi bergambar dengan para pelajar (MASTAT) dan rakyat Malaysia di Turkiye (DIASPORA) yang tinggal di Turkiye dan kemudian terus dijemput menuju ke ruang utama untuk menyanyikan lagu Negaraku.

Majlis dilanjutkan dengan ucapan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, TYT Sazali Mustafa Kamal, seterusnya YDP Agong mencemar duli melawat setiap meja-meja makan.

Ketika tiba di meja wakil GISBH, wakil GISBH menyerahkan plak cenderahati daripada Pengerusi Eksekutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali, berupa peta cawangan GISBH seluruh dunia.

YDP Agong melihat cawangan-cawangan GISBH di plak yang dihadiahkan dan bertanya, “Berapa lama di sini? Wakil GISBH, “Ada yang 5 tahun, ada yang 6 tahun Tuanku.” Setelah itu baginda mengucapkan terima kasih lalu menyambung lawatan ke meja-meja yang lain.

Wakil GISBH juga berpeluang beramah mesra dengan Raja permaisuri Agong dan menghadiahkan baginda cenderahati berupa sejadah wangi dan biskut raya serta bergambar dengan baginda.

Jumlah tetamu yang hadir seramai 150 orang yang kebanyakkannya mengenali GISBH melalui songkok Ikhwan.

Wakil-wakil GISBH juga sempat bertemu dengan YBhg. Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha di pejabat Kementerian Luar Negeri. Beliau yang merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Turkiye turut mengenali Pengerusi Eksekutif GISBH, Tuan Nasiruddin Mohd Ali kerana pernah bertemu di Restoran Nur Muhammad Istanbul yang lama iaitu di Edirnekapi pada tahun 2014.

Wakil GISBH juga berpeluang bertemu dengan Datuk Azuan Effendy iaitu Datuk Paduka Maharaja Lela Istana. Apabila memperkenalkan diri kepada beliau, Datuk Azuan berkata, “Makanan yang disediakan oleh Nur Muhammad untuk YDP Agong sedap-sedap semuanya, pakaian dan songkok korang malam ni cantik macam tentera Uthmaniah.”

Kali ini, Allah izinkan katering Restoran Nur Muhammad Istanbul berkhidmat menyediakan juadah makan tengahari dan makan malam YDP Agong dan keluarga seramai 10 orang bermula 18 hingga 21 Ogos 2022.

Moga dengan kesetiaan kepada Raja dan Negara, Allah izinkan rakyat Malaysia hidup bersatu, aman damai di mana sahaja mereka berada walaupun di luar negeri, lebih-lebih lagi di tanah air sendiri.

Views: 41
Scroll to top