Wakil GISBH menjadi tetamu kehormat Konvokesyen MSU

Views: 765

MARAWI CITY, 20.02.2024
Fakulti Pertanian Mindanao State University (MSU) telah menjemput YBhg Tn. Hj. Nik Hazani Nik Mohamed, Ahli Lembaga Penasihat (ALP) GISBH menjadi tetamu kehormat di Konvokesyen MSU melibatkan 40 graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka pada sesi 2023 yang lalu, di sini baru-baru ini.

MSU yang terletak di Marawi City merupakan universiti negeri yang pertama di Mindanao dan university awam kedua di Filipina selepas Universiti Filipina (University Of Philippines) di Manila.

MSU dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 350 hektar di tepi Tasik Lanao telah dirasmikan pembukaannya pada 1 September 1961.

Sepanjang lebih 6 dekad, MSU telah berjaya melahirkan lebih 45,000 graduan dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah pertama (Bachelor), ijazah kedua (Master) dan kedoktoran (PhD).

Majlis konvokesyen yang sepatutnya diadakan pada bulan Mac ini telah dipercepatkan pada tarikh 18 Feb 2024 bagi memastikan kehadiran Tn. Hj. Nik Hazani mewakili YBhg. Tn. Hj. Nasiruddin Mohd Ali, Pengerusi Eksekutif GISBH, yang terikat dengan jadual kerja lain.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dekan Fakulti Pertanian MSU, Dr. Mubarak yang menyatakan pencapaian GISBH dalam berbagai bidang sehingga mampu bertapak di 19 buah negara di dunia dan melahirkan harapan Fakulti Pertanian MSU untuk bekerjasama dengan GISBH di bidang pertanian, penternakan, perikanan dan pengeluaran produk makanan halal di Marawi City.

Dalam majlis itu Ybhg Tn. Hj. Nik Hazani telah diberi penghormatan menyampaikan ucapan kepada hadirin yang terdiri daripada para graduan bersama ibubapa masing-masing.

Di antara isi ucapannya, beliau mengingatkan para hadirin tentang asas bagi semua aktiviti kehidupan mesti bermula dengan pembinaan insaniah terutama ibadah sembahyang yang merupakan hubungan manusia dengan Tuhan juga hubungan sesama manusia iaitu ikatan ukhwah, mahabbah, kasih sayang antara mereka dan berusaha menjadi manusia yang memberi sebanyak-banyak manfaat kepada orang lain.

Beliau juga menekankan tentang kewajipan mengusahakan perkara berkaitan ‘halalan toiyiban’ yang bukan saja terhad kepada makanan bahkan merangkumi semua sistem hidup yang ‘halal’ (halal life style) iaitu membangunkan ‘sistem hidup patuh syariah’ yang akan memberi kesan dan manfaat yang menyeluruh kepada manusia.

Terdahulu, para hadirin berpeluang mengenali GISBH dengan lebih dekat menerusi tayangan video korporatnya.

Majlis kemuncak ialah penyampaian ijazah, sijil-sijil pencapaian dan cenderahati kepada para graduan di mana Tn. Hj. Nik Hazani sekali lagi diberi penghormatan menyampaikannya kepada setiap graduan yang naik ke pentas bersama ibubapa masing-masing.

Semoga MSU dan GISBH akan terus bekerjasama memberi kesedaran kepada generasi muda khususnya para graduan untuk bertanggung jawab membina masyarakat yang melaksanakan Islam sebagai cara hidup.

Views: 765

Reviews for Wakil GISBH menjadi tetamu kehormat Konvokesyen MSU

There are currently no reviews for Wakil GISBH menjadi tetamu kehormat Konvokesyen MSU
Scroll to top