Wakil GISBH sertai mesyuarat Mantai Perdana sempena Syawal 1443

Views: 2


SEREMBAN, 26.04.2022
Dua orang wakil GISBH Negeri Sembilan melalui Ikhwan Farm Kundur (IFK), iaitu salah satu pusat penternakan lembu GISBH, telah menyertai mesyuarat Penyelarasan Program Mantai 2022 yang diadakan di Bilik Gerakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh EXCO Pertanian Negeri Sembilan, YB Dato’ Ir. Hj. Bakri bin Sawir ini dihadiri oleh sekitar 40 orang peserta termasuk Pengarah Veterinar Negeri, Pengarah FAMA, pegawai-pegawai Veterinar dan FAMA juga peserta-peserta Program Mantai Perdana yang merupakan penternak dan peniaga.

Antara perkara yang diputuskan dalam perbincangan ialah harga siling daging pejal iaitu pada kadar RM36 sekilogram dan harga tulang campur ialah RM35 sekilogram untuk jualan di ‘Mantai Perdana’ sedangkan harga jualan sebenar daging pejal ialah RM39 sekilogram manakala tulang campur RM38 sekilogram.

Sebanyak RM250,000.00 subsidi akan diperuntukkan untuk pelanggan mantai tahun ini dengan kuantiti keseluruhan daging dan tulang sebanyak 83 tan dengan anggaran 800 ekor lembu dan kerbau ditawarkan kepada orang ramai.

Subsidi yang diberi oleh kerajaan Negeri ini bertujuan untuk mengurangkan bebanan kos orang ramai dalam menyambut lebaran, iaitu sebanyak RM3 sekilogram.

Orang ramai digalakkan membuat prapesanan secara dalam talian Agrobazaar di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan tempahan boleh dibuat bermula 15 hingga 24 April ini.

Ikhwan Farm Kundur di bawah GISBH akan mengadakan jualan di dua lokasi iaitu di Seremban 2 dan di Dewan Agora Rembau.

Moga penglibatan GISBH di dalam Program Mantai Perdana kali ini menambah eratkan lagi hubungan baik dengan pihak FAMA, Veterinar, para penternak dan peniaga juga seluruh pelanggan.

Views: 2

Reviews for Wakil GISBH sertai mesyuarat Mantai Perdana sempena Syawal 1443

There are currently no reviews for Wakil GISBH sertai mesyuarat Mantai Perdana sempena Syawal 1443
Scroll to top