Ziarah Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH ke kediaman Syeikh Mustafa Al-Mubarak di Tepekent, Istanbul

Views: 25

TEPEKENT, ISTANBUL 13.04.2023
Pengerusi Eksekutif (PE) GISBH, YDH Tuan Nasiruddin Mohd Ali, ALP Muslimah, Puan Azura Mohd Yusof bersama 14 orang anggota rombongan telah menziarahi Syeikh Mustafa Al-Mubarak, seorang tokoh sufi terkenal di vilanya di sini baru-baru ini.

Rombongan tiba di kediaman Syeikh Mustafa sejurus sebelum waktu berbuka puasa lalu dijemput oleh Syeikh Mustafa Al Mubarak dengan isterinya seperti keluarga sendiri dengan berbuka di ruang makan bersebelahan dapur vilanya.

Rombongan bersembahyang Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah di bilik menyambut tetamu di ruang bawah vila Syeikh Mustafa bersebelahan dengan bilik kebal yang terdapat pelbagai Khazanah berkat Baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan Aulia Allah.

Sewaktu menunggu waktu Isyak, YDH Tuan PE sempat berbual-bual dengan Syeikh Mustafa dan murid-murid beliau yang juga kenalan rapat Tuan PE di antaranya Mr Taifur, Mr Mustafa Eris, Mr Halil dan lain-lain.

Di kesempatan itu, YDH PE menjemput para pengikut dan murid Syeikh Mustafa semua menyambut Aidil Fitri di Mekah lalu mereka menjawab,“Insyallah kami akan datang bersama Syeikh Mustafa Al-Mubarak.”

Syeikh Mustafa pula berulang kali bertanyakan khabar Puan Azura yang beliau panggil dengan gelaran ‘Anne’ dalam bahasa Turki bererti emak.

Perbualan berjalan lancar dengan bantuan terjemahan daripada En Abid Nasiruddin yang fasih berbahasa Turki.

Sepanjang keberadaan YDH Tuan PE di kediamannya, Syeikh Mustafa sangat meraikan beliau dan dengan bersungguh-sungguh mengeluarkan Khazanah Berkat Janggut Rasulullah SAW, kain kelambu Kaabah, Kain penutup maqam Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani, serpihan batu Hajarul Aswad untuk YDH Tuan PE dan seluruh ahli rombongan menatap dan mengucupnya.

Syeikh Mustafa yang sangat memuliakan tetamu juga meraikan Tuan PE dan ahli rombongan dengan menyapu mereka dengan sebanyak hampir 50 botol minyak wanginya.

Selesai menunaikan sembahyang tarawih, Tuan PE GISBH dan rombongan dijemput ke ruang tetamu vila Syeikh Mustafa untuk jamuan more yang dimulakan dengan 3 buah nasyid dalam Bahasa Arab dan Turki sambil Tuan PE menyampaikan perkembangan terkini syarikat GISBH di seluruh dunia kepada Syeikh Mustafa Al-Mubarak dan tetamu-tetamunya.

Semoga seluruh yang hadir mendapat keberkatan dari program ziarah sesama Muslim yang sangat dituntut dalam Islam lebih-lebih lagi terhadap seorang Syeikh Sufi yang sangat berkat, Syeikh Mustafa Al-Mubarak.

Views: 25

Reviews for Ziarah Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH ke kediaman Syeikh Mustafa Al-Mubarak di Tepekent, Istanbul

There are currently no reviews for Ziarah Tuan Pengerusi Eksekutif GISBH ke kediaman Syeikh Mustafa Al-Mubarak di Tepekent, Istanbul
Scroll to top